Wednesday, December 4, 2013

BAB 2 : KELAS BERMULA...


Pagi itu, semangat diriku lain daripada biasa. Lagakku seakan-akan seperti hari pertama masuk darjah satu. Cuma ketika itu diriku belum didatangi oleh angin-angin kebosanan. Ketika itu, diriku tidak kenal erti putus asa. Ketika itu tiada gangguan dan tiada ejekan serta sindiran menerjah diriku. Ketika itu,  Si Misteri  tidak pernah menghantui hidupku. Semuanya putih bersih..ketika itu. Polos.Suci.

Beria-ria diriku ingin ke sekolah, seolah-olah mendapat suntikan tenaga baru. Aku menghirup udara nyaman sebaik sahaja menunaikan solat subuh sebaik sahaja azan berkumandang. Sama awal dengan kokokan ayam tua milik jiranku di reban ayam di belakang rumah.  Aku panaskan enjin motosikal berwarna hitam disaluti warna keorenan milik abangku yang aku pinjam untuk tempoh persekolahanku. Aku kemudiannya mencapai bag galas kesayanganku sebelum menemui emak.  “Mak ! Mak ! kakak nak pergi sekolah dah ni…” sambil memanggil emak. Namun suasana sepi tanpa sahutan. Aku ke bilik emak, rupa-rupanya emak sedang solat subuh.  Aku tersenyum lalu terus meluru keluar rumah ke tempat motosikal tanpa sempat aku membelai lembut tangan seorang insan bergelar “emak” kerana masa tidak lagi menyebelahi diriku yang agak terlewat untuk ke sekolah.  Ketika perjalanan ku ke sekolah, satu jeritan ku hamparkan buat warga kota yang lalu lalang di tol Bagan Ajam bagi menaikkan semangat diriku.

“ARHHHHHHHHHHHHHHHHHH! CHAYOK KHADIJAH CHAYOK ! KAU MAMPU HADAPINYA! YAKIN! PASTI BOLEHHHHHHHHHHHHH! “ jeritku sambil menghembuskan nafas panjang. Tiba-tiba kedengaran suara sumbang yang menyapa sahutanku. “Woi gilakah jerit-jerit!”  teriakan seorang pemuda cina yang khusyuk berjoging di kawasan itu meruntuhkan kembali semangatku 13 peratus. “Ya aku mungkin gila, aku gila kerana aku ambil keputusan untuk tukar sekolah, aku tiada kawan tiada siapa yang mampu untuk aku kongsi segala masalahku” jawab hati kecilku dengan penuh kehampaan.

                                                       ~Di dalam kelas PUB Alpha~

                Mata kecilku terkelip-kelip lima kali tanpa henti. Waktu itu kelas Cikgu Shahrul yang mengajar subjek Sejarah Tamadun Dunia. Hari ini merupakan hari kedua aku mendengar  tentang subjek itu. Namun pemahaman aku yang begitu kurang mengenai dunia membuatkan aku dibuai mimpi-mimpi sewaktu beliau mengajar di depan. Bukan kerana aku tidak minat, bukan juga kerana aku tidak cinta..hmm  mungkin juga bukan kerana aku tidak suka mata pelajaran itu. Cuma mungkin kerana perasaan aku yang tidak berkeyakinan berada di kelas itu. Kelas yang aku lihat jelas berpuak-puak pada jenis sekolah yang sama. Sedangkan aku? Keseorangan.

         “Kamu ! kamu  faham tak apa yang saya cakap tadi di depan?” tanya cikgu Shahrul sambil bebola matanya yang memandang  tepat ke arahku.  Lamunan ku terhenti. “Ya cikgu , aaa…ya saya faham cikgu” jawab diriku yang separuh sedar dengan apa yang diperkatakan oleh beliau di depan. Namun itu bukanlah jawapan yang tepat bagi seorang guru yang sudah berpengalaman mengajar. Aku tahu beliau sengaja menanya  soalan itu kepada diriku kerana aku kerap kali mengelamun sewaktu di dalam kelas beliau. Mungkin beliau seolah-olah boleh melihat jasadku sedang berterbangan di dalam kelas seperti orang gila yang mencari arah di zaman Kegelapan.

Setelah tamat kelas sejarah adalah waktu rehat. Waktu yang paling dinantikan bagi Khair, seorang lelaki yang mempunyai bibir yang seksi dan berbadan agak sedikit gempal dan beberapa kawannya iaitu Asyraf, seorang lelaki yang menjadi rebutan ramai namun agak pemalu orangnya, Solehin pula seorang lelaki yang selalu membandingkan dirinya dengan artis pujaannya iaitu Bruno Mars kerana gaya rambutnya yang seakan-akan artis pujaannya itu dan Hafiz, pelajar lelaki yang paling tinggi bagaikan zirafah di blok Tingkatan Enam.  Namun berbeza pula situasinya dengan Muaz, pemuda yang ku kenali sewaktu tiba di sekolah ini. Dia tidak pergi ke kantin sebaliknya menghabiskan masanya di dalam kelas dengan tidur atau berkeliaran di sekitar koridor blok Tingkatan Enam. Tetapi waktu itu dia berada di dalam kelas di tempat duduknya. Aku dan beberapa lagi pelajar tidak ke kantin.

“Muaz, kenapa tak pergi ke kantin? Kau tak lapar kah?” sapaku sambil menoleh ke arah belakang memerhatikan dirinya yang sedang menyelak buku Sejarah.

“Hmm malas lah nak pergi kantin, dah lah jauh nak kena berjalan dah tu makanan bukannya sedap. Membazir duit aku jaa..” jawab muaz dengan selamba waktu itu.

Tatkala aku mendengar jawapan  muaz, aku tersenyum kerana tidak menyangka jawapan yang bakal aku terima sudah ku jangka.  “Dah tu, kenapa kau tak bawa bekal makanan? Takkan selamanya kau nak makan angin dekat sekolah ni?” aku meneruskan pertanyaanku terhadapnya.

“hah? Bawa bekal? Budak lelaki mana main bawa bekal-bekal makanan ni. Perempuan boleh lah. Alahh balik rumah aku makan lah bukannya lapar sangat pun..” muaz menjawab dengan gayanya yang sentiasa selamba.

“Untungglah…” kata ku dengan ringkas. “Apa yang untung?” tanya muaz kembali dengan mengerut dahinya sehingga kelihatan garisan-garisan halus di dahinya.

“Yelah..Untungglah sebab lapar….” jawabku sambil membayangkan ayam goreng.

Setelah  lama berbual-bual kosong  dengan pelajar lelaki itu, lonceng tamat waktu rehat  pun berbunyi. Waktu PBS masih lagi tidak diisi dengan apa-apa program mahupun aktiviti. Pelajar seperti biasa menghabiskan waktu ini untuk bergosip dan menubuhkan puak masing-masing. Kecuali diriku yang masih lagi di tampuk yang lama. Yang masih lagi tidak mendekati pelajar wanita yang lain. Aktiviti yang sama ku lakukan di waktu ini. Meletakkan kepalaku di atas meja sambil memikirkan kemanakah menghilangnya semangatku yang memuncak di pagi hari. Semangat yang aku bangkitkan umpama debu yang bertebangann di saat aku melangkah masuk ke kelas ini. Aku kemudiannya menganggat kepala memerhati  gelagat si Adden,  orang yang agak kelakar karakterya bermain dengan sahabatnya yang diberi gelaran “Tok Ayah”.  Mungkin mereka juga yang membuatkan kelas PUB Apha ini riuh rendah dengan gelagat mereka yang agak mengelikan hati buat sesiapa sahaja yang melihatnya.  Di saat aku memerhatikan gelagat-gelagat mereka tanpa aku sedar aku seolah-olah sedang diperhatikan oleh seseorang.  Aku kemudiannya  cuba menegur dirinya. Lelaki yang berada di hadapanku. Amirul namanya. Lelaki yang satu ketikanya mengetuk mejaku ketika guru masuk ke kelas pada waktu PnP  kerana menyangka aku sedang tidur pada waktu itu. Aku hanya mengeluarkan perkataan “Untungglah” ketika kali pertama aku menyapanya. Entah mengapa aku menyebut perkataan itu di hadapannya. Dia kemudiannya menoleh ke belakang dan dengan mesranya dia menanyakan kepadaku  “Apa yang untungnya?”.

Itu lah permulaan perbicaraan aku dengannya. Kemudian kami berborak-borak panjang. Dia menanyakan aku mengenai sekolahku sebelum aku ditukarkan ke sini. Dan beberapa soalan yang lain. Di saat aku melihat dan memerhati lelaki yang berkulit sawa matang yang berbadan agak besar dan berkepala botok ketika itu, pandanganku terhadapnya semakin terhakis. Entah mengapa aku berasa selesa berbual dengannya walaupun di wajahnya kelihatan sedikit malu untuk berbicara denganku. Kemudiannya dua orang pelajar perempuan  yang duduk di hadapan meja guru memerhati ke arah kami. Mereka mengajak aku untuk duduk berbual bersama mereka. Namun permintaan mereka terpaksa ku tolak kerana aku masih lagi malu ketika itu. Sekumpulan pelajar perempuan yang berkumpul kemudiannya melambai-lambai tangan memanggil diriku untuk ke sana. Aku sekadar mengeleng kepala dan tersenyum menandakan tidak. “Pergilah…dah orang ajak kau sembang tu. Jangan sombong sangat. Mereka tu nak kawan dengan kau. Takkan selamanya kau nak duduk sorang-sorang tiada kawan di sekolah ni. Dah pergi…pergi” Muaz tiba-tibanya bersuara kepadaku agar aku tidak menolak pelawaan mereka. Entah mengapa aku terus menurut kata-kata Muaz tanpa berfikir panjang. Mungkin aku tidak mahu dianggap pelajar baru yang sombong di kelas itu.

Aku kemudiannya menarik salah satu kerusi milik pelajar lain. Mereka memandangku sambil tersenyum. “ Nama awak siapa? Awak satu sekolah dengan pelajar lelaki yang baru jugak tu ka?” tanya Rifa,seorang gadis yang mempunyai lesung pipit dipipinya sambil bebola matanya yang memandang ke arah Muaz.
“Saya Khadijah, panggil ejah ja. Ohh Muaz? Taklah kami sekolah yang berbeza. Dia tu dari sekolah Permatang Tok Jaya, saya dari SMK Convent.” Jawab diriku sambil mengukir senyuman di bibir.

“Ooooo…Sekolah Convent rupanya” balas salah seorang gadis di situ.

          Entah mengapa aku berasa kekok diwaktu itu..dan mengapa jika aku sekolah Convent? Fikiran ku pantas berfikir apakah tanggapan mereka terhadap sekolah lama ku itu. Setelah beberapa minit kemudian aku kembali semula ke tempat dudukku setelah Cikgu Azzahida, guru yang mengajar subjek Bahasa Melayu yang berpakaian baju kurung dengan tudung yang matching dengan warna kasutnya melangkah masuk ke dalam kelas.  Setelah selesai ucapan selamat dan bacaan doa memulakan pelajaran. Cikgu menyuruh pelajar-pelajar mengeluarkan buku rujukan Bahasa Melayu masing-masing. Aku hanya mengeluarkan pensilbox dan sebuah buku tulis memandangkan diriku belum membeli buku rujukan tersebut kerana pada mulanya aku mengambil subjek Pengajian Perniagaan di awal pembelajaranku di STPM. Cikgu mencadangkan untuk mempercepatkan pelajaran dengan memberikan setiap kumpulan peluang untuk mengadakan pembentangan mengenai tajuk-tajuk yang berlainan. Kami kemudiannya di bahagikan kepada beberapa kumpulan. Mujur waktu itu, Aida Fariha, Aisyah dan Siti Zulaikha memilih diriku sebagai ahli kumpulan mereka. Walaupun aku kurang mengenali mereka namun berdasarkan pemerhatianku selama di kelas itu mereka adalah pelajar yang pintar dan mempunyai perwartakan yang bagiku amat menarik minatku untuk lebih mengenali mereka. Aida Fariha, seorang gadis kecil yang comel di mataku itu adalah pelajar yang sememangnya berasal dari sekolah ini, Aisyah pula adalah gadis matang yang ku menambat hatiku sejak awal pertemuan diriku dengannya manakala Siti Zulaikha pula seorang gadis yang mysterious bagi diriku. Entah mengapa aku rasakan sesuatu yang aneh tentang dirinya, mungkin kerana wataknya yang agak “terpelihara” memandangkan dia merupakan pelajar dari sekolah Agama berasrama penuh membuatkan ada sesuatu yang buat diriku tertarik dengan sifat peribadinya. Tambahan pula, dia adalah satu-satunya pelajar di kelas ini yang sentiasa menanyakan soalan-soalan yang bagiku agak bernas dan terfikir olehku kerana pengetahuannya yang banyak mengenai persekitaran sekeliling.

No comments:

Post a Comment